[VIDEO] Gara-gara sikap pentingkan diri pemandu Iriz, 'rider' tersepit di Subang Jaya


  • Tular
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Tangkap layar video pemandu Proton Iriz itu membuka pintu dan terkena seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan dia tersepit dan melambung.

TULAR sebuah video seorang penunggang motosikal tersepit antara dua buah kenderaan gara-gara sikap mementingkan diri seorang pemandu kereta jenis Proton Iriz di Subang, Selangor baru-baru ini.

Insiden tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang turut berada di lokasi kejadian.

Berdasarkan rakaman tersebut, keadaan jalan ketika itu banyak kenderaan berhenti dipercayai kerana lampu isyarat bertukar merah.

Namun secara tiba-tiba pemandu Proton Iriz itu membuka pintu dan terkena seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan dia tersepit dan melambung di antara dua buah kenderaan.

Pemandu tersebut kemudiannya melihat pintu kenderaannya dahulu sebelum menanyakan keadaan mangsa.

Mangsa kemudiannya bangun sambil menahan kesakitan dan dibantu pemandu lain yang berada di lokasi kejadian.

Difahamkan video berdurasi satu minit itu berlaku di berdekatan pusat membeli belah Damen, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai menyelar tindakan pemandu tersebut yang secara tiba-tiba membuka pintu di tengah jalan raya.

"Kenapa dia tiba-tiba buka pintu macam itu? Dah tahu selalu motor akan lalu celah2 kereta, kenapa tak tengok dulu sebelum buka pintu?" kata @Sha116.

"Dah kenapalah pergi bukak pintu macam itu sahaja," ujar @Xexeyaya.

"Ini dinamakan pentingkan diri sendiri, dia pergi buka pintu tengah-tengah jalan dah kenapa," luah @ZafrulMad.

"Tak faham tindakan orang yang macam ini, pentingkan diri, kalau nak buka pintu pun tengoklah side mirror dulu," tulis @SuriaKamilan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan keadaan mangsa sama ada mengalami kecederaan parah atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram