MALAYAN Banking Bhd (Maybank) melihat dakwaan kebocoran data pelanggan sebagai 'amat serius' dan sedang menyiasat dakwaan tersebut yang melibatkan bank itu.
Menurut bank itu, pihaknya sedang menyiasat sama ada dakwaan tersebut benar memandangkan Maybank tidak mengalami pelanggaran data.
“Bank ingin mengulangi bahawa ia menerapkan keselamatan siber dan langkah-langkah perlindungan data yang kukuh untuk melindungi keselamatan, privasi dan integriti data serta sistemnya,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkongsi satu catatan pengguna Facebook dengan nama 'Pendakwah Teknologi', yang mendakwa, maklumat pengguna hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bocor.
Menurut catatan di Facebook itu, sebuah laman web telah menyenaraikan butiran 3.5 juta pelanggan Astro, 1.8 juta pelanggan Maybank dan 7.2 juta pengundi pada pukul 7.56 malam pada 25 Disember.
Maklumat yang bocor itu didakwa melibatkan ID log masuk, nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.
Fahmi berkata, kebocoran data itu adalah serius kerana ia melibatkan sejumlah besar maklumat, seterusnya menggesa CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk menyiasat dakwaan pelanggaran data peribadi, yang melibatkan pihak-pihak berkenaan dan mengambil tindakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram