SETIAP 21 September merupakan Hari Alzheimer Sedunia. Sambutan itu dilakukan bagi mewujudkan kesedaran tentang masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan warga emas.
Bagaimanapun pandangan begitu tidak boleh lagi diguna pakai kerana perkara itu turut boleh berlaku kepada orang muda.
Sedikit fakta, Alzheimer atau lebih dikenali sebagai penyanyi nyanyuk dalam kalangan masyarakat adalah sejenis penyakit yang membabitkan otak.
Bahagian fungsi otak melibatkan memori, pemikiran dan kelakuan akan terkesan sekiranya menghidapi masalah ini. Situasi tersebut akan memberi kesan kepada aktiviti kehidupan seharian dan menjejaskan kualiti kerja.
Simptom
- Hilang memori.
- Kesukaran melakukan aktiviti seharian.
- Kesukaran menyelesaikan sebarang masalah.
- Kesukaran untuk bercakap atau menulis.
- Kesukaran mengingati tempat atau masa.
- Kurang daya pemikiran rasional.
- Kurang mementingkan kebersihan.
- Perubahan mood dan personaliti.
- Tidak mahu bercampur dengan kawan, keluarga dan komuniti.
Berdasarkan statistik yang pernah dilakukan Persatuan Alzheimer, penyakit ini merangkumi 60 hingga 80 peratus terkait dengan kes demensia.
Statistik itu turut menyatakan bahawa majoriti individu yang didiagnosis terkena penyakit nyanyuk melibatkan pesakit berusia 65 tahun ke atas.
Difahamkan, kumpulan pakar masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar perkara tersebut boleh berlaku.
Namun, terdapat beberapa pandangan yang mengaitkan beberapa hal seperti;
Usia lanjut - Individu berusia 65 tahun dan ke atas antara yang berisiko.
Sejarah keluarga - Pesakit yang mempunyai sejarah keluarga berisiko mengalami penyakit ini.
Genetik - Dikatakan terdapat beberapa genetik dalam tubuh yang dipercayai membawa masalah kesihatan ini.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah pusat genetik Gene Apolipoprotein E (APOE) mengatakan wujud genetik dalam tubuh badan yang dikaitkan sebagai pencetus nyanyuk.
Pengkaji juga mengatakan meskipun gen ini tiada dalam diri individu, perkara tersebut bukan bermakna dirinya bebas daripada terkena masalah kesihatan ini.
Alzhelmer di usia muda
Nyanyuk atau Alzhelmer tidak lagi boleh dianggap sebagai penyakit tua. Ini kerana orang muda lingkungan usia 30 tahun dan ke atas antara berisiko.
Difahamkan, lima hingga enam peratus penderita penyakit ini mula menunjukkan simptom sebelum mencecah umur 65 tahun.
Pesakit muda menghidapi jenis sporadic, tetapi kumpulan pakar masih belum pasti punca ia berlaku.
Bagi individu muda yang menghidapi gangguan kesihatan ini dipanggil familial pada usia muda yang dikaitkan dengan sejarah ahli keluarga.
Penyakit nyanyuk kebiasaan terkait dengan gen APOE sementara pesakit usia muda pula terkait dengan tiga gen iaitu APP, PSEN1 dan PSEN2.
Gaya hidup sihat
Secara ringkasnya, amalan gaya hidup sihat termasuk melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan makanan seimbang dapat membantu untuk mengelakkan perkara ini berlaku.
Bukan sahaja gaya hidup, tetapi senaman minda seperti bermain permainan memori, catur atau melakukan hobi melibatkan kreativiti membantu untuk menguatkan ingatan.
Ini kerana orang muda juga berisiko menghidapi penyakit ini meskipun baru berusia 30 tahun.
Sekiranya terdapat simptom melibatkan ingatan atau kesihatan, dapatkan nasihat serta rawatan daripada pakar.
Sebaiknya kesan dan rawat penyakit tersebut daripada awal bagi mengelakkan berlarutan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram