
DUA pelajar universiti swasta dilaporkan mati lemas ketika beriadah di Sungai Chiling di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Kedua-dua mangsa yang berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan.
Ketika kejadian, mangsa bersama lima rakan lain difahamkan sedang dalam perjalanan ke Sungai Chiling untuk berenang dan berkelah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, sebaik menerima panggilan, lima anggota dan sebuah jentera bomba dari Kuala Kubu Baru diarahkan ke lokasi dan tiba 20 minit kemudian.
“Sebaik tiba, seorang daripada mangsa sudah dibawa ke darat oleh orang awam dan mangsa kedua ditemui anggota bomba pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila salah seorang mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang mengalami kesukaran.
“Rakannya terdengar jeritan pertolongan mangsa dan kemudian cuba menyelamatkannya sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian dan kematian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram