Bas ekspres terbalik dekat Plaza Tol Rawang, 2 termasuk budak perempuan cedera


  • 112
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Sebuah bas ekspres dilaporkan terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang. — Bernama

SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia dilaporkan cedera selepas bas ekspres yang dinaiki terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) awal pagi Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan pula cedera di bahagian kaki.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak yang terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata hasil siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.

Menurut Zainal, setibanya di Kilometer 443, bas terbabit yang dipandu di lorong paling kiri tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan dan seterusnya terbalik ke kiri.

"Tiada sebarang kecederaan parah direkodkan. Penumpang yang lain telah dibawa ke TBS menaiki kenderaan syarikat bas ekspres terbabit selepas semua dipastikan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Zainal berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Shaifuddin Mohd Nor menerusi talian 0176645812 atau 0361262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram