SEORANG wanita berkongsi pengalaman pertama kali menghadapi insiden samseng jalanan semasa menggunakan khidmat e-hailing pada Jumaat.
Insiden tersebut berjaya dirakam menerusi telefon pintar wanita itu yang dipercayai terkejut dengan kejadian yang berlaku itu.
Menurut wanita itu, kejadian bermula apabila pemandu Nissan Sentra yang datang dari lorong sebelah kanan secara mengejut memotong dan memandu ke laluan kiri kenderaan e-hailing terbabit.
Perkara tersebut menyebabkan, pemandu e-hailing wanita itu membunyikan hon, namun ia tidak berakhir di situ apabila individu tersebut enggan bergerak ketika mereka berhenti di persimpangan walaupun lampu isyarat bertukar hijau.
Disebabkan itu, pemandu e-hailing terbabit sekali lagi menekan hon supaya individu tersebut memulakan perjalanannya.
Selepas melepasi persimpangan lampu isyarat tersebut, pemandu itu tidak berpuas hati dan bertindak menahan kereta e-hailing tersebut yang mana wanita terbabit berada di dalam kenderaan tersebut.
Ketika kejadian, suspek keluar daripada kenderaan dan meluru ke arah pemandu e-hailing dan memarahi mangsa sebelum kembali ke kenderaannya.
Namun selepas suspek kembali ke kenderaannya, dia datang semula dengan membawa sebatang kayu dan mengacah untuk memukul mangsa.
Difahamkan video berdurasi dua minit 20 saat dipercayai berlaku di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai menyarankan supaya mangsa membuat laporan polis dengan segera.
"Ada bukti yang jelas, bagi angkut sahaja dia, mungkin ini tabiat samseng jalanan sebab itu dia simpan kayu guard dalam kereta," kata @J_Clan14.
"Menyirap pulak darah aku tengok dia ni berlagak samseng, harap @PDRMsia, @PDRMsia_Trafik ambil tindakan segera terhadap pembuli jalan raya ni," ujar @PuteriMinang.
"Tak lama ini, mesti kena angkut. Boleh kira senjata itu," jelas @Psikosong.
Dalam pada itu perkara tersebut turut mendapat perhatian pihak polis apabila meminta wanita tersebut membuat laporan bagi membantu siasatan.
"Kami pohon kerjasama saudari untuk tampil membuat laporan di balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan. Terima kasih," ujarnya.
Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan kejadian tentang seorang pemandu Myvi lagak samseng berani tunjuk isyarat lucah dan ludah kereta mangsa di Petaling Jaya, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram