Kemasukan pelancong China merisaukan, ketatkan SOP Covid-19 — DPMM


  • Massa
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Ramai peniaga kini sedang bangkit semula dalam perniagaan.

WALAUPUN masih bergelut untuk mengekang penularan Covid-19, China tetap meneruskan keputusan untuk melonggarkan arahan dengan membenarkan rakyatnya bercuti ke luar negara.

Untuk rekod pada minggu lalu, media melaporkan bahawa 5.43 juta kes positif Covid-19 dicatatkan di Shanghai, China, satu angka yang cukup besar.

Tambahnya pula dengan laporan berkaitan separuh penumpang sebuah kapal terbang yang mendarat di Itali disahkan positif Covid-19 meningkatkan lagi kerisauan penduduk dunia termasuk negara.

Untuk rekod, sejak Covid-19 melanda negara 2019, negara telah melaksanakan dua kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19.

Tidak mahu perkara itu berulang kembali, rata-rata rakyat mahu undang-undang ketat dilaksanakan untuk mengekang kemasukan warga China.

Bukan itu sahaja, jika kes Covid-19 kembali meningkat, golongan yang akan terkesan adalah peniaga yang baru sahaja hendak merancakkan kembali ekonomi mereka.

WhatsApp Image 2022-12-30 at 4.12.10 PM

Syahrin Hamidon berharap kerajaan perlu ambil tindakan sekat kemasukan warga China.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon berkata, kemasukan warga China jika tidak dikawal dengan sebaiknya oleh negara memang akan merisaukan.

Sebelum ini pun ramai peniaga dan usahawan yang terkesan dengan Covid-19 sehingga terpaksa menutup perniagaan mereka dan kini, ketika ramai yang baru nak mula bangkit, timbul pula kerisauan baharu.

"Kita serah kepada budi bicara kerajaan untuk sekat pelancong China. Jika tidak pun, harap ada solusi yang terbaik oleh kerajaan.

"Kalau boleh, kerajaan perlu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 hasil daripada pengalaman pandemik Covid-19 yang lalu," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini turut mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk berdepan gelombang baharu Covid-19 dari China jika rakyat mereka dibenarkan masuk ke dalam negara.

Kebimbangan sama turut diluahkan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun yang mahu kemasukan pelancong China ditangguhkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram