Budak mangsa dera maut akibat dipukul di kepala, hasil laporan bedah siasat


  • 112
  • Khamis, 29 Dis 2022

Kamarul berkata, punca kematian itu diperoleh hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan pada Rabu di HSI, Johor.

PUNCA kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, Johor adalah disebabkan hentakan objek keras dan tumpul di kepala.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, punca kematian itu diperoleh hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan pada Rabu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

"Hasil bedah siasat dibuat secara teliti dan pakar HSI mendapati bahawa punca kematian adalah blunt trauma to the head iaitu hentakan benda keras.

"Walau bagaimanapun terdapat kesan calar, kesan gigitan, Insya-Allah siasatan kita teruskan untuk dapatkan maklumat hasil bedah siasat," katanya kepada media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor KOR Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi 2022 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.

Beliau berkata, 10 individu termasuk ahli keluarga mangsa juga sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Kita merakam percakapan ahli keluarga dan beberapa orang saksi yang kita yakin dapat membantu siasatan dan ada lagi individu akan dipanggil untuk dirakam percakapan," katanya.

Sementara itu, lima suspek termasuk kakak dan abang ipar mangsa yang sebelum ini ditahan reman bermula Ahad hingga Sabtu ini, akan disambung reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu, mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Gatom, Johor kira-kira pukul 5.30 petang.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 23 Disember selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang sebelum meninggal dunia Isnin lepas.

Kanak-kanak itu dijaga oleh kakaknya selepas ibu bapa mereka dihukum penjara kerana kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya (pengadu) untuk dijaga.

Polis sebelum ini mengesahkan terdapat kecederaan baharu dan lama di seluruh badan mangsa dan antara kecederaan yang dapat dilihat ialah kesan dicucuh api atau benda panas termasuk di kemaluan serta gigitan di telinga.

Sehingga kini, lima individu berusia lingkungan 15 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan termasuk kakak mangsa berusia 19 tahun dan suaminya, 37. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, dera, punca, hentakan, objek, keras