TULAR sebuah video kemalangan seorang penunggang motosikal terbabas dan tergolek apabila terlanggar lubang di sebuah jalan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di lokasi kejadian.
Menerusi video tersebut, beberapa buah kenderaan dilihat berada di jalan tersebut dan trafik ketika itu agak lancar.
Namun secara tiba-tiba seorang penunggang motosikal di laluan sebelah kanan terjatuh apabila dipercayai melanggar lubang di jalan tersebut.
Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit terjatuh dan terseret di atas jalan yang mana menyebabkan topi keledar mangsa itu tertanggal.
Difahamkan, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur.
Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati orang ramai menasihati lelaki itu agar sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri semasa menunggang motosikal.
"Berhati-hati di atas jalan raya abang, kasihan orang tersayang tunggu menanti kepulangan dekat rumah," ujar Mona Allen.
"Mesti dia tak perasan yang ada lubang dekat situ, sebab dia bawa motor pun perlahan sahaja," jelas Haqimi Abib.
"Sakit itu kena macam ini, jatuh lepas itu bergesel gara-gara lubang itu orang lain jadi mangsa," luah Qayyum Marjoni.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keadaan mangsa sama ada mengalami kecederaan parah atau tidak.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram