Tiga minggu hilang, gerai mudah alih jadi petunjuk baharu kes culik budak 6 tahun


  • Benua
  • Rabu, 28 Dis 2022

Oni menunjukkan gambar Malika yang sudah tiga minggu hilang selepas dipercayai diculik seorang lelaki dikenali sebagai Yadi. — Agensi

SEORANG budak perempuan enam tahun dikenali sebagai Malika Anastasya dilaporkan hilang selama tiga minggu selepas disyaki diculik seorang pengutip sampah barangan kitar semula.

Polis mendapat petunjuk baharu selepas menemui sebuah gerai lipat mudah alih yang dipercayai digunakan sebelum menculik mangsa dalam kejadian di Gunung Sahari, Sawah Besar, Jakarta, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Metro Jakarta Pusat, Komisaris Besar Komarudin berkata, suspek dikenali sebagai Herman menjual gerai lipat mudah alih itu pada harga 400,000 rupiah (RM112.17) di Pasar Poncol, Jakarta Pusat.

Komarudin berkata, polis masih menyiasat identiti sebenar suspek kerana didakwa menggunakan nama berbeza iaitu Yadi.

Rakaman detik-detik Malika dilarikan seorang lelaki dikenali sebagai Yadi. — Facebook

"Individu yang membeli gerai mudah alih itu memberitahu lelaki yang menjualnya bernama Herman. Namun, ibu bapa mangsa memaklumkan suspek dikenali sebagai Yadi.

"Kita masih semak sama ada Yadi dan Herman adalah individu yang sama atau berbeza," katanya.

Polis memberitahu, suspek sempat membawa mangsa ke stesen kereta api Kota namun mereka tidak dapat mengesan arah tuju kerana ketiadaan televisyen litar tertutup di lokasi berkenaan.

"Maklumat ini diperoleh daripada pemandu kenderaan bermotor beroda tiga (bajaj) yang dinaiki mereka berdua," katanya.

Dalam kejadian pada 7 Disember lalu, Malika dilihat mengikut suspek menaiki bajaj namun bapa mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka dikatakan saling mengenali antara satu sama lain.

Pada hari kejadian, suspek dikatakan membeli nasi di gerai keluarga mangsa sebelum ke gerai ayam goreng bersama kanak-kanak berkenaan.

"Suami saya hanya cakap mungkin mereka pergi membeli ayam goreng kerana biasanya begitu," katanya ibu mangsa dikenali sebagai Oni. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram