[VIDEO] Demi 'content', remaja parah dirempuh lori terima 'berbakul-bakul' kecaman


  • Benua
  • Khamis, 29 Dis 2022

Tangkap layar video yang memaparkan seorang remaja cedera selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Raya Sukamanah Rumpin, Bogor, Indonesia pada Rabu.

SEBELUM ini tular berkaitan aktiviti sekelompok golongan remaja yang sanggup menggadai nyawa demi mendapatkan video untuk dipaparkan di media sosial.

Antara content berbahaya dilakukan adalah dengan berdiri di tengah jalan raya ketika lori besar sedang memecut laju dan cuba untuk mengelaknya.

Ramai sebelum ini yang mengecam tindakan kelompok remaja yang membahayakan diri sendiri dengan melakukan content sedemikian.

Terbaharu, aktiviti itu akhirnya mengundang padah apabila seorang remaja mengalami kecederaan selepas didakwa dirempuh sebuah lori ketika ingin membuat content tersebut.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu di Jalan Raya Sukamanah Rumpin, Bogor, Indonesia dan sempat dirakam orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, remaja itu dilihat sudah terbaring di tengah jalan raya dalam keadaan menahan kesakitan akibat dirempuh lori.

Individu yang merakam video itu juga memaklumkan yang remaja itu telah dilanggar sebuah kereta manakala rakan-rakannya yang turut bersamanya sebelum itu telah melarikan diri.

Difahamkan, mangsa kemudian telah dibawa oleh orang ramai ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, warganet berharap supaya tragedi itu bukan sahaja menjadi pengajaran kepada kumpulan yang melakukan content sedemikian, tetapi juga kepada ibu bapa supaya dapat memantau aktiviti seharian anak-anak mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram