Hampir 90 peratus siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali selesai


  • Primer
  • Selasa, 27 Dis 2022

Siasatan di tapak tragedi Batang Kali dikatakan sudah hampir 90 peratus selesai dijalankan. — Awani

KETUA Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengumumkan bahawa siasatan polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap.

Beliau berkata, hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital sahaja untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

"Sehingga kini polis telah merakam keterangan daripada 77 orang saksi melibatkan mangsa yang cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan serta anggota pasukan penyelamat.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974," katanya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

"Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan," katanya.

Terdahulu, tragedi pada pagi 16 Disember itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan di situ.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram