Penunggang Yamaha FZ150 maut, rakan parah kena hempap pokok ketika cuaca baik


  • 112
  • Ahad, 25 Dis 2022

Keadaan pokok yang tumbang dan menghempap seorang penunggang motosikal hingga maut di Jalan Seremban-Tampin pada tengah malam Ahad. — Gambar ihsan PDRM

SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, Negeri Sembilan pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.

Nanda berkata, pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

"Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

"Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram