Tengok riak muka Pan-gon memang betul-betul nak cabar saya, bongkar Faisal Halim


  • Podium
  • Ahad, 25 Dis 2022

Faisal Halim menjaringkan dua gol ketika kemenangan selesa 5-0 ke atas Laos pada Sabtu. — Facebook/FAM

SETELAH merekodkan tiga gol setakat ini dalam kempen Piala AFF 2022, penyerang sayap licik, Faisal Halim mendedahkan bahawa dia dicabar untuk muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Rekrut baharu Selangor FC itu berkata, cabaran tersebut diberikan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang meletakkan harapan tinggi kepadanya bagi merangkul anugerah berkenaan.

"Sebenarnya itu (muncul penjaring terbanyak) tanggungjawab yang besar tapi saya ambil cabaran tersebut sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.

"Saya sahut cabaran Kim Pan Gon itu...saya tengok riak wajahnya memang beliau betul-betul nak saya jadi penjaring terbanyak,” katanya ketika ditemui selepas kemenangan bergaya 5-0 skuad Harimau Malaya ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah pemain berusia 24 tahun itu, perkara itu secara tidak langsung mempengaruhi prestasinya selepas dia sebelum ini mencetak jaringan kemenangan ketika anak-anak buah Pan-gon menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan di Yangon Rabu lepas.

Namun, dia berkata, pencapaian peribadi itu bukanlah perkara utama menjelang dua aksi terakhir kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Selasa sebelum aksi penutup menentang Singapura pada 3 Januari di laman sendiri, yang mana bakal menjadi penentu dalam perebutan dua slot teratas untuk ke peringkat kalah mati.

"Yang penting saya nak pasukan ke final. Itu matlamat paling utama, saya dapat gelaran penjaring terbanyak atau pun tidak, atau saya berjaya jaringkan gol selepas ini atau pun tidak, itu tidak penting.

"Saya tidak jaringkan gol tak mengapa janji pasukan menang dan kita layak ke separuh akhir, seterusnya final,” katanya.

Setakat ini, Faisal dan penyerang Filipina, Kenshiro Daniels mendahului carta penjaring terbanyak apabila masing-masing mengumpul tiga gol selepas dua perlawanan.

Dalam kemenangan menentang Laos, Faisal menjaringkan dua gol menerusi tandukan pada separuh masa kedua perlawanan selepas penyerang Sri Pahang FC, Sergio Aguero memperolehi jaringan pendahuluan pada babak pertama permainan.

Dua gol lagi disumbang pemain muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli dan pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin menerusi satu percubaan deras daripada luar kotak penalti. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram