[VIDEO] Tragis! Pembalak haram maut diterkam harimau ketika tertidur keletihan


  • Benua
  • Ahad, 25 Dis 2022

Seorang pembalak haram ditemukan maut selepas dibaham harimau ketika sedang tidur dalam sebuah hutan di Indonesia. — Agensi

SEORANG lelaki maut selepas diterkam harimau Sumatera dalam satu kejadian di Sungai Apit, Siak, Indonesia pada Isnin lalu.

Mangsa yang dikenali dengan nama Acai, 50, diterkam harimau ketika sedang tidur selepas keletihan melakukan aktiviti pembalakan haram.

Ketua Agensi Konservasi Alam Semulajadi Riau, Genman Suhefti Hasibuan berkata, lokasi mangsa dibaham harimau terletak di kawasan hutan yang dipelihara.

Genman berkata, mangsa bersama rakan-rakannya yang lain telah membina pondok dan melakukan aktiviti pembalakan haram di lokasi yang menjadi habitat harimau.

Sementara itu, rakan mangsa, Cen Cen, 20, berkata, ketika kejadian dia juga sedang tidur sebelum terdengar bunyi mengaum.

Difahamkan, mangsa sebelum itu telah ditarik oleh harimau sebelum ditemukan oleh rakan-rakannya yang cuba mencari bunyi harimau itu.

Mangsa ditemukan dengan kesan gigitan di bahu, kesan luka di leher, muka dan pipi yang terkoyak. Selain itu, terdapat kesan calar di belakang badannya.

"Namun, tiada bahagian tubuh mangsa yang dimakan haiwan itu," kata Genman.

Sementara itu, Ketua Polis Siak, Tony Prawira berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.

Tambahnya, pihaknya juga sedang menyiasat aktiviti pembalakan haram yang dilakukan di lokasi itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram