SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang tampuk pemerintahan negara, setiap gerak geri dan keputusannya menjadi perhatian ramai.
Satu daripadanya adalah tindakan menyaman beberapa pemimpin politik yang dilakukan Anwar kerana didakwa telah memfitnah dirinya.
Amat jarang sebenarnya kita dapat melihat seorang perdana menteri bertindak menyaman pemimpin politik dan perkara itu dipersetujui penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan.
Menurut Azmi, walaupun perkara itu jarang dilakukan, tetapi Anwar perlu berbuat demikian untuk memastikan ugutan tidak berterusan dilemparkan kepadanya.
"Jika dibiarkan, kemungkinan besar tuduhan terhadap Anwar akan diberi lebih perhatian berbanding tugasnya sebagai Perdana Menteri.
"Lagipun penggunaan sistem perundangan adalah hak individu walaupun jarang kita melihat seorang Perdana Menteri menggunakan sistem perundangan untuk menyaman kecuali dalam keadaan mendesak," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Azmi menganggap apa yang berlaku kepada Anwar sekarang adalah pembunuhan karakter yang boleh mengganggu pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, jika tidak menggunakan sistem perundangan, ada satu lagi perkara yang boleh diguna Anwar iaitu menerusi agensi keselamatan untuk melakukan siasatan.
"Tetapi mungkin Anwar tidak mahu penggunaan agensi keselamatan memberi persepsi yang tidak baik terhadapnya. Penggunaan sistem perundangan dapat mengurangkan sedikit side effect yang boleh mengganggu beliau mentadbir negara," katanya.
Sejak memegang tampuk pemerintahan negara pada 24 November lalu, Anwar sudah mengambil tindakan saman terhadap beberapa pemimpin politik iaitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram