SEORANG pelajar kolej swasta berdepan tindakan undang-undang setelah membuat laporan polis palsu bahawa dirinya dirompak dan mengalami kerugian RM10,300 dipercayai bagi mengelak membayar hutang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataan berkata, remaja berumur 19 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 9.46 malam Jumaat, mendakwa dirinya dirompak tiga lelaki bersenjata di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, polis kemudian menjalankan siasatan dan mendapati kejadian yang dilaporkan pelajar itu tidak berlaku.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, remaja berkenaan membelanjakan wang simpanan diberikan keluarganya dan alasan disamun juga digunakan untuk tidak membayar wang yang dipinjam daripada rakannya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohamad Fakhrudin berkata, pelajar terbabit tidak ditahan dan pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan untuk membuat pertuduhan di mahkamah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram