DUA orang pencuri terpaksa berputih mata apabila hanya dapat mencuri duit syiling di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah baru-baru ini.
Berdasarkan perkongsian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik pada Jumaat di Facebook, kelihatan seorang lelaki pada mulanya berjalan mendekati kereta mangsa yang dipercayai tidak berkunci sedang mencari barangan berharga di dalam kenderaan terbabit.
Namun selepas beberapa saat, suspek kelihatan seperti sudah berputus asa lalu memerhatikan kawasan sekeliling sebelum beredar dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan suspek turut menyelongkar kenderaan itu untuk mencari barangan berharga, namun mereka terpaksa berputih mata kerana hanya berjaya mencuri duit syiling yang ditinggalkan mangsa.
Seperti skrip filem Ali Baba Bujang Lapok, difahamkan kejadian yang berjaya dirakam berdurasi 55 saat tersebut berlaku di kawasan perumahan Taman Kota Masai Nenas 4, Masai, Johor.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai hanya mentertawakan suspek kerana gagal mengaut sebarang keuntungan.
"Buat penat sahaja merompak namun hasilnya duit syiling," kata Ismail Mera.
"Padan muka, sesuka hati sahaja nak rembat barang orang dalam kereta," ujar Borhan Faizal.
"Mesti dia kecewa sangat tak dapat hasil, sebab itu panggil kawan join cari barang dalam kereta itu," jelas Harun Jamal.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram