[VIDEO] Pesan rokok, teh sebelum rompak kedai kerana hasad dengki


  • Benua
  • Isnin, 12 Dis 2022

Persis filem Tamil, samseng sempat pesan teh dan rokok sebelum mula menyerang pemilik kedai.

POLIS Bengaluru, India menahan empat lelaki pada Sabtu kerana cuba melakukan rompakan selain mencetuskan pergaduhan dan menyerang seorang pekedai di kawasan Munnekollal di bandar tersebut.

Menurut polis, kesemua tertuduh didakwa atas kesalahan merompak dan menyerang.

Dalam rakaman video yang tular di internet, sekumpulan lelaki dilihat menyerang seorang lelaki yang sedang berdiri di kaunter kedai runcit.

Tanpa belas kasihan, kumpulan lelaki itu menumbuk pemilik kedai selain dia juga diserang dengan dulang plastik dan topi keledar.

Tindakan sekumpulan lelaki itu mencetuskan reaksi panik di kawasan tersebut.

Menurut laporan media tempatan, punca serangan itu dikatakan kerana persaingan dan keganasan itu telah dirancang terlebih dahulu.

Dalam kejadian itu, lelaki yang menyerang pekedai itu pada mulanya dilihat memesan teh dan rokok sebelum memulakan pergaduhan semasa membayar bil.

Pekedai itu turut mendakwa wang miliknya, rantai emas, telefon bimbit dan wang tunai dirompak tertuduh.

Setakat ini, polis telah menahan empat daripada lapan lelaki yang dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Video tular di laman Twitter menyaksikan lapan orang menerjah masuk ke kedai runcit dan menyerang pekedai itu.

"Kami ingin memaklumkan bahawa kami telah pun menahan empat orang yang menyerang dan merompak. Selebihnya masih dalam siasatan," ujarnya.

"Polis juga memberi amaran bahawa perlakuan sebegitu menyalahi undang-undang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram