Polis buru wanita berjubah rompak kedai emas guna pisau di Ayer Keroh


  • 112
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Tangkap layar video memaparkan suspek (kiri) mengacukan pisau terhadap seorang pekerja kedai emas di Ayer Keroh, Melaka.

TINDAKAN berani seorang wanita berjubah menyamun sebuah kedai emas di Ayer Keroh, Melaka menerima padah apabila pihak polis kini sedang memburunya.

Wanita terbabit dipercayai cuba menyamun premis terbabit dengan menggunakan sebilah pisau yang diacukan ke arah salah seorang pekerja pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang apabila suspek yang memakai jubah masuk ke kedai itu dan berpura-pura ingin membeli emas.

Beliau berkata, semasa kejadian suspek turut mengarahkan mangsa supaya memasukkan barang kemas ke dalam beg galasnya, namun tidak berjaya kerana rakan sekerja mangsa bertindak pantas menariknya sebaik sahaja menyedari insiden itu.

"Suspek dikatakan ke premis itu untuk membeli emas dan tiba-tiba dia bertindak mengeluarkan sebilah pisau dari beg galas lalu mengacukan kepada pekerja yang sedang melayannya.

"Suspek mengarahkan pekerja kedai terbabit yang berusia 16 tahun untuk memasukkan barangan kemas itu ke dalam begnya," katanya.

Christopher berkata, rakannya yang menyedari kejadian kemudian bergegas ke arah remaja terbabit lalu menariknya ke arah belakang.

Satu video berkaitan kejadian tersebut yang dipercayai daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai emas berkenaan turut tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati tiada sebarang kerugian dilaporkan selain pekerja premis itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan selain polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjejaknya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak menggunakan senjata," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram