Jabatan kesihatan sita produk makanan rosak, 'expired' dalam operasi di Selangor


  • Primer
  • Sabtu, 24 Dis 2022

JKNS mengesan 406 produk makanan rosak dan tamat tarikh luput masih dipamerkan untuk dijual di Selangor. — Gambar hiasan/ Agensi

SEBANYAK 406 produk makanan rosak dan tamat tarikh luput masih dipamerkan untuk dijual dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), hasil operasi selama dua hari yang dijalankan bermula Khamis lepas.

Penemuan di 36 premis itu meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di negeri tersebut.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada pemantauan yang dilakukan ke atas 6,127 produk makanan dan 944 hamper makanan menerusi Operasi Keselamatan Makanan bersempena perayaan Krismas hujung minggu ini.

Katanya, daripada jumlah produk makanan tersebut, 262 produk mewakili 4.3 peratus didapati telah tamat tarikh luput, manakala 144 iaitu 2.4 peratus dikesan mempunyai bungkusan rosak seperti tin kemek, kembung dan bekas yang rosak.

"Kesemua produk makanan terlibat yang bernilai RM11,378.46 diarah supaya dialihkan dari rak pameran jualan untuk disita di bawah Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 12 Notis 32B kesalahan di bawah Peraturan 10(b), Peraturan 11(1)(j), Peraturan 14(9)(b) dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikeluarkan semasa operasi ini dengan nilai kompaun yang ditawarkan berjumlah RM35,500," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Sha'ari berkata, operasi tersebut dijalankan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) peringkat negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pintu masuk seluruh Selangor.

Katanya, di samping bertujuan untuk memastikan makanan dijual di pasaran tempatan adalah selamat dan berkualiti selaras dengan keperluan yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, operasi tersebut memberi fokus kepada makanan yang telah tamat tarikh luput dan mempunyai bungkusan rosak tetapi masih dipamerkan untuk jualan.

"Sekiranya Orang Kena Notis (OKN) gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang telah diberikan tindakan selanjutnya akan diambil dengan prosiding pendakwaan di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya.

"Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka dan membaca label pada produk makanan serta memeriksa keadaan bungkusannya terlebih dahulu bagi mengelakkan terbeli produk makanan yang telah tamat tarikh luput ataupun mempunyai bungkusan yang rosak.

"Pengguna juga disarankan supaya menyalurkan maklumat berkaitan premis yang menjual makanan yang telah tamat tarikh luput, mempunyai bungkusan rosak atau sebarang aduan berkaitan produk makanan atau premis penjualan makanan sama ada kepada PKD terdekat atau kepada BKKM di peringkat negeri melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau di Facebook JKN Selangor," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JKNS, tarikh luput, rosak, makanan