SERAMAI 25 orang terperangkap di sebuah pusat peranginan dalam kejadian banjir kilat di Kota Belud dan rumah atas air roboh di Kota Kinabalu serta Pitas akibat cuaca buruk serta hujan lebat berterusan sejak Khamis di Sabah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 6.28 petang Khamis, tentang 25 mangsa terperangkap di pusat peranginan itu selepas jalan raya dinaiki air dan kenderaan tidak dapat melaluinya.
Beliau berkata, pasukan bomba membuat pemeriksaan serta menilai situasi kawasan kejadian di Kampung Melangkap Baru dan memeriksa keadaan mangsa serta memberi nasihat untuk ke tempat yang selamat.
"Operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan banjir dijalankan pada pukul 6 pagi ini (Khamis) dengan menggunakan sistem hauling dan semua mangsa dikeluarkan pasukan bomba dengan selamat serta ditempatkan sementara di inap desa berhampiran serta ada keluarga mangsa datang menjemput.
"Keadaan air semakin surut pagi ini namun terdapat enam kenderaan pelbagai jenis milik mangsa masih terperangkap. Operasi terkawal pada 7.35 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 8 pukul pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Misran berkata, pihaknya menerima laporan terdapat rumah atas air roboh akibat cuaca buruk serta laut bergelora malam Khamis di dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Pitas.
Beliau berkata, di Kota Kinabalu, pihaknya menerima laporan pukul 7.35 malam terdapat sebuah rumah atas air serta sebuah jambatan roboh dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Baru akibat dipukul ombak besar dan angin kencang.
"Terdapat dua penghuni keluar dengan sendiri dari dalam rumah dan dalam keadaan selamat. Pasukan Bomba membuat pemantauan di sekitar kawasan dan seterusnya memberi nasihat kepada penduduk sekitar untuk berpindah ke kawasan yang selamat,” katanya.
Katanya, di Pitas pihaknya menerima laporan pada 8.34 malam sebuah rumah atas air roboh di Kampung Salimpodon Laut dan pemantauan pasukan bomba mendapati semua penghuni rumah telah keluar dengan selamat.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu dalam kenyataan memberitahu dianggarkan 273 daripada 32 keluarga yang tinggal di rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru belum berpindah.
"Pagi ini hanya lapan orang daripada satu keluarga yang masih berada di pusat pemindahan di balai raya di sini, manakala penghuni lain yang berpindah telah tinggal di rumah keluarga mereka yang terdekat,” katanya.
Katanya bantuan kit makanan permulaan telah diagihkan, manakala bantuan lain seperti makanan mentah kering, peralatan dapur dan peralatan binaan akan disalurkan selepas penilaian dibuat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram