Tanah runtuh: Redah 10 jam perjalanan ke Gua Musang demi bekalan makanan


  • Massa
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Jalan utama penduduk terputus akibat kejadian tanah runtuh.

KEHABISAN bekalan makanan sejak seminggu lepas mendorong 15 Orang Asli dari Pos Balar mengangkut 13 motosikal menyeberangi Sungai Inching untuk keluar dari kawasan penempatan mereka menuju ke bandar Gua Musang, di Kelantan pada Jumaat.

Orang Asli suku kaum Temiar itu terpaksa menggunakan laluan sungai berikutan jalan balak yang menjadi laluan utama mereka rosak akibat cuaca hujan yang berterusan sejak berminggu-minggu, malah terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 10 jam untuk sampai ke pusat bandar.

Penduduk Kampung Tidog, Pos Balar Abu Alang, 41, berkata, mereka hanya menjadikan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebagai menu harian sejak seminggu yang lepas sebelum memutuskan untuk keluar membeli bekalan makanan kering di bandar.

"Kami tiada pilihan lain selain terpaksa merentasi jalan sungai kerana sudah kehabisan makanan.

"Biasanya jika tiada makanan di rumah boleh juga pinjam dahulu (makanan) daripada jiran-jiran, tetapi kali ini mereka juga turut kehabisan bekalan,” katanya.

Sari Din, 25, berkata, kebiasaannya lima jam diperlukan jika menggunakan jalan balak untuk ke Gua Musang, bagaimanapun perjalanan meredah sungai bersama motosikal menyebabkan mereka mengambil masa hingga 10 jam untuk sampai ke bandar itu.

"Kami keluar beramai-ramai untuk memudahkan kerja-kerja mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur dan sama-sama mengangkut motor melepasi Sungai Inching.

"Kami hanya mampu tawakal kerana tidak tahu paras air sungai itu jadi kami bertolak dari rumah seawal 7 pagi dan sampai ke bandar 5 petang, disebabkan itu kami terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini,” katanya.

Tambah Sari, setiap tahun menjelang musim hujan masyarakat Orang Asli tiada pilihan lain selain menghadapi cabaran jalan rosak dan meredah sungai kerana hanya itu jalan perhubungan yang mereka ada sejak tinggal di perkampungan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram