Lorong basikal tambah masalah kesesakan parkir di Taman Usahawan Kepong


  • Massa
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Sebahagian jalan di Taman Usahawan, Kepong dikorek untuk memberi laluan kepada pembinaan lorong basikal..

PEMILIK kedai di Kepong, Kuala Lumpur kesal dengan pembinaan lorong basikal yang telah mengurangkan jumlah tempat letak kereta di sepanjang Jalan Metro Perdana Timur 11, Taman Usahawan.

Mereka juga menyifatkan pembinaan lorong basikal di kawasan itu kurang sesuai kerana terdapat laluai serupa berhampiran di Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Pemilik bengkel penyaman udara kereta, Chew Chin Seng, 57, berkata, kawasan perniagaan itu kekurangan tempat letak kereta dan pembinaan lorong basikal hanya menambah masalah kesesakan.

“Kira-kira sedekad lalu, kami meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar petak letak kereta selari kepada petak serenjang.

"Ini bagi membantu menambah bilangan tempat letak kereta di kawasan itu.

“Kini, dengan pembinaan lorong basikal, kita perlu kembali kepada tempat letak kereta selari.

“Ini bermakna, pekerja dan pengunjung tempat itu perlu meletak kenderaan di tempat lain apabila tempat letak kenderaan awam penuh,” katanya.

Ketika tinjauan StarMetro, kontraktor lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah memulakan kerja di lorong basikal di sepanjang Jalan Metro Perdana Timur 11.

Papan tanda notis menunjukkan projek itu sebagai Lorong Basikal Fasa Pertama (Kesalinghubungan Hijau dan Biru).

Ia akan melalui Jalan 1/1A, Kampung Melayu Kepong, Jalan Metro Perdana Barat, Jalan 15/34C dan Jalan Besar Kepong serta jalan baharu yang menghubungkan Jalan Lingkaran Tengah 2 dan Taman Tasik Metropolitan.

Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat Masyarakat Kepong, Yee Poh Ping berkata, pembinaan lorong basikal itu akan menyukarkan pemilik perniagaan di Taman Usahawan Kepong.

Menurutnya, isu parkir berganda sentiasa menjadi masalah di kawasan terbabit dan pengurangan bilangan tempat letak kereta hanya akan mengundang masalah berbangkit.

“Lorong basikal baharu ini adalah sepanjang 500 meter tetapi sudah ada laluan basikal sepanjang 4.5 kilometer di Taman Tasik Metropolitan.

“Daripada bina lorong basikal baharu mengelilingi taman itu, DBKL sepatutnya menambah baik kemudahan di taman rekreasi tersebut,” katanya sambil menambah, cadangan itu sudah dipanjangkan kepada DBKL.

Pada masa sama, pegawai DBKL mengadakan lawatan untuk mendapatkan maklum balas daripada pemilik perniagaan di kawasan perindustrian itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram