Tragedi Batang Kali: Pasukan penyelamat jumpa 4 lagi mangsa


  • 112
  • Khamis, 22 Dis 2022

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan empat mayat pada hari ketujuh.

PASUKAN penyelamat menemukan empat mayat mangsa pada hari ketujuh operasi dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali, Selangor, pada Khamis.

Menurut Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, mayat empat mangsa ditemui pada pukul 10.39 pagi Khamis.

Setakat Rabu, sebanyak 26 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala 61 lagi selamat dan tujuh masih hilang.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada keseluruhan mangsa terlibat, 29 adalah kanak-kanak dan 65 dewasa.

Sementara itu, memetik laporan Bernama penemuan terbaharu setakat 11.50 pagi itu menjadikan jumlah korban tragedi kini meningkat kepada seramai 30 orang.

Penemuan empat mayat berkenaan yang masih belum didedahkan jantina serta umur itu disahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah kepada Bernama di tapak operasi.

Terdahulu, operasi pencarian bersambung semula pada kira-kira 8 pagi Khamis selepas ditangguhkan pada pukul 10 malam semalam.

Setakat ini, tiga mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram