Gigih cari mangsa terakhir tragedi Batang Kali, Uncle Kentang dedah 'kerisauan' anggota bomba


  • Massa
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Walaupun berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu namun pasukan penyelamat masih gigih meneruskan misi mencari mangsa terakhir. — Bernama

ANGGOTA bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tapak tanah runtuh Batang Kali, Selangor enggan mengambil bacaan tekanan darah kerana dikhuatiri akan direhatkan daripada tugasan mencari dan menyelamat (SAR).

Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang berkata, petugas kesihatan ditempatkan di lokasi SAR untuk memeriksa tahap tekanan darah anggota bomba bertugas.

Bagaimanapun, ramai anggota bomba enggan berbuat demikian kerana mereka tahu bahawa mereka akan diminta untuk berehat dan bukannya meneruskan misi mencari mangsa terakhir yang merupakan seorang budak lelaki berusia 11 tahun.

photo1671779600

Uncle Kentang berkata pasukan penyelamat enggan mengambil bacaan tekanan darah kerana dikhuatiri akan direhatkan daripada tugasan SAR. — Facebook/UncleKentang

"Anggota bomba semuanya 'penakut', mereka 'takut' ambil bacaan tekanan darah kerana bimbang mereka akan dihentikan daripada operasi kerana tekanan darah tinggi.

"Sudah tentu bacaan tekanan darah mereka tinggi. Mereka tidak tidur lena. Mereka sangat letih.

"Mereka mahu kekal dan terus membantu dalam misi SAR. Inilah semangat juang dan pengorbanan mereka," tulisnya dalam Bahasa Mandarin di Facebook 马铃薯叔叔日志 Uncle Kentang pada Jumaat.

Uncle Kentang juga berada di lapangan setiap hari untuk menyampaikan pelbagai bentuk bantuan sejak kejadian tanah runtuh melanda pada Jumaat lepas (16 Disember).

Ia merupakan semangat semua penyelamat di lapangan termasuk Bantuan Khas Bencana Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan tentera.

"Mereka memang wira negara kita," katanya.

SAR bagi mangsa terakhir disambung semula pada 8 pagi, Jumaat (23 Disember) di tapak tanah runtuh Father's Organic Farm.

Pencarian dilakukan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, yang masih belum ditemui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram