'KEHILANGAN' Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar akhirnya terjawab selepas beliau memperjelaskan isu ketiadaannya ketika negeri tersebut dilanda banjir teruk minggu lalu.
Samsuri berkata dia mengambil keputusan untuk ke luar negara selepas mendapati terdapat penurunan di beberapa kawasan yang terlibat dengan banjir.
"Saya ingin menyatakan sebagai rekod, saya teliti suasana banjir yang berlaku pada setiap masa.
Saya membuat keputusan untuk ke luar negara selepas berlaku tanda penunurunan banjir serta tempoh kemuncak itu berlaku pada kemudiannya iaitu pada 18 Disember sehingga 21 Disember.
"Malangnya pada waktu tersebut jugalah saya berada di luar kawasan," katanya.
Penjelasan itu dikongsikan melalui sesi taklimat mengenai perkembangan banjir di Pejabat Daerah Kemaman, Terengganu yang dilakukan secara siaran langsung (live) di laman Facebook rasminya pagi Jumaat.
Pada masa sama, beliau turut meminta maaf kerana tidak berada di Terengganu ketika rakyat memerlukan khidmatnya.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu
"Saya faham saya juga tidak boleh memberikan apa juga alasan dan sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan, ketiadaan saya di sisi rakyat Terengganu diwaktu sebegini.
"Saya juga faham walau apa jua penjelasan yang saya berikan, penjelasan saya sudah tentu tidak memberi makna," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, Samsuri tiada di Terengganu ketika rakyat di negeri itu berdepan gelombang kedua bencana banjir.
Selain itu, beberapa tangkap layar tiket penerbangan pemimpin berkenaan ke Auckland, New Zealand turut tular dan menimbulkan pelbagai reaksi setelah ia dikongsikan di media sosial.
Kali terakhir pemimpin itu dilihat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus pada 9 Disember lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram