PENDAKWAH selebriti Azman Syah Alias sekali lagi didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Terdahulu, Azman Syah, 41 atau lebih dikenali sebagai PU Azman dituduh di tiga mahkamah berasingan di Seremban, Klang dan Ampang bagi 10 pertuduhan berkaitan jenayah seksual.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua dakwaan dilakukan di sebuah inap desa di Jalan Kebun pada September 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam Fahmi Adilah yang mewakili Azman Syah memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes berlangsung.
"Sebelum ini tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas siasatan kes berjalan, anak guam saya tidak lagi dipanggil memberi ceramah yang menyebabkan pendapatannya terjejas.
"Anak guam saya juga telah dituduh di Mahkamah Seremban, Klang dan Ampang atas kes serupa, jaminan dikenakan RM40,000 di Seremban, RM24,000 di Klang dan RM10,000 di Ampang.
"Dia terpaksa menggunakan wang simpanan dan meminjam daripada keluarga serta rakan-rakan bagi membayar jaminan tersebut,” kata peguam.
Hakim Rasyihah Ghazali kemudian membenarkan Azman Syah diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan sebutan kes dan serahan dokumen pada 30 Januari depan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Azman Syah turut mengucapkan terima kasih kepada pemberita yang setia menunggu prosiding kesnya.
"Assalamualaikum, terima kasih kerana menunggu dan doakan saya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram