MBSJ roboh 25 gerai haram di Puchong


  • 112
  • Khamis, 22 Dis 2022

Sebuah jentolak membersihkan gerai yang dirobohkan di sepanjang Jalan Taqwa berhampiran bulatan Persiaran Puchong Permai. — LOW BOON TAT/The Star

SEBANYAK 25 buah gerai yang beroperasi secara haram di sepanjang Jalan Taqwa dekat Puchong Permai, Selangor, dirobohkan dalam operasi yang dijalankan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, operasi itu dijalankan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur jalan raya.

“Naik taraf itu termasuk pembinaan laluan pejalan kaki di kedua-dua belah pihak, pembaikan jalan dan turapan, menambah papan tanda jalan serta lukisan semula lorong,” katanya.

Kira-kira 200 anggota termasuk unit penguat kuasa MBSJ dan agensi seperti Pejabat Tanah Petaling, polis Subang Jaya, Jabatan Imigresen Selangor, Tenaga Nasional Bhd dan Air Selangor berada di lokasi semasa operasi dijalankan berhampiran bulatan Puchong Permai yang dikendalikan Persia.

Beberapa pemilik gerai turut hadir dan kebanyakannya sudah mengalihkan barangan niaga mereka.

Johary berkata, pada asalnya terdapat 36 gerai haram di tapak itu yang mana peniaga telah diberi notis untuk mengosongkan sejak 28 Disember 2020 supaya struktur itu dirobohkan.

Lima gerai telah dirobohkan apabila tarikh akhir telah tamat ketika itu, tetapi tindakan lanjut ditangguhkan selepas kerajaan negeri mengarahkan MBSJ mengenal pasti tapak baharu untuk pemilik gerai tersebut.

“Tiga daripada 36 pemilik gerai bersetuju berpindah ke pusat penjaja di Dataran Puchong Permai apabila ditawarkan, manakala beberapa lagi memutuskan untuk berpindah ke tempat lain.

“Tawaran itu masih terbuka buat baki 25 pemilik gerai untuk berpindah ke tapak baharu,” katanya.

Beliau berkata, operasi pada Khamis berjalan lancar kerana semua pihak memberi kerjasama.

“MBSJ akan menutup Jalan Taqwa selama tiga hari mulai 21 Disember untuk membersihkan tapak sebelum meneruskan kerja naik taraf,” katanya.

Kerja naik taraf jalan itu dianggarkan mengambil masa selama dua bulan dan akan bermula pada Januari tahun depan dengan kos RM500,000.

Pengerusi Persatuan Usahawan Primawalk Puchong Permai, Ismail Awang memberitahu bahawa beliau kecewa dengan tindakan majlis bandaraya itu kerana gerai-gerai tersebut telah beroperasi di situ sejak 2008.

“Kami tahu majlis bandar raya telah memberi kami tapak baharu untuk menjalankan perniagaan kami tetapi lokasinya tidak sesuai dan kami bimbang pendapatan kami akan terjejas.

"Kami menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Selangor untuk menangguhkan kerja-kerja perobohan dan membincangkan perkara itu dengan pihak majlis," katanya.

Mengulas perkara itu, Johary berkata, rancangan pembangunan infrastruktur MBSJ telah dibincangkan dengan pemilik gerai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram