ORANG ramai menyambut baik pengumuman pembayaran agihan pendapatan 5.10 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember depan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rata-rata warganet menyatakan rasa gembira dengan pengumuman tersebut namun ada juga yang menyatakan merasakan kadar itu belum cukup tinggi.
Seorang warganet, Pak Gondol berkata, dia bersyukur dengan apa yang diumumkan sebelum ini.
"Alhamdulillah, janji ada. Kita lihat juga keadaan keadaan ekonomi kita sekarang. Takkan ekonomi tak berapa bagus, kita nak minta dividen banyak," katanya.
Seorang lagi warganet, Miswadi Mokri berkata, ramai yang perlu bersyukur dengan pengumuman terutamanya yang membuat pinjaman.
"Kalau buat pinjaman pun, annggapkan sahajalah anda bayar pinjaman bulanan itu sebagai simpanan masuk ke ASB," katanya.
Sementara itu, Zainuddin Hashim pula menyatakan rasa kekecewaan tetapi dalam masa sama berharap akan lebih diperbaiki untuk tahun-tahun seterusnya.
"Makin nazak bonus tahun ini. Tetapi itulah adat berniaga. Kita serah kepada pakar ekonomi yang baru dilantik," katanya.
Turut bersetuju ialah Srn Andro yang berkata, jumlah dividen itu berbaloi itu mereka yang melabur menggunakan duit sendiri.
"ASB melabur guna duit sendiri buat simpanan. Risiko untuk susut duit amat rendah. Kalau yang buat pinjaman terima seadanya, jangan hidup dalam angan-angan. Hutang tetap perlu dibayar," katanya.
Terdahulu, Tun Arifin turun berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pengurus dana terbesar di Malaysia itu telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.
Beliau berkata, jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.
"Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram