Bapa 5 anak dituduh buat amang seksual terhadap budak perempuan 10 tahun di Pendang


Tertuduh yang juga bapa kepada lima orang anak itu mempunyai hubungan persaudaraan dengan mangsa.

SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, Kedah atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, awal bulan ini.

Lelaki berusia 56 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pendang pada 8.40 malam, pada 10 Disember lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh yang juga bapa kepada lima orang anak itu mempunyai hubungan persaudaraan dengan mangsa.

Hakim Jean Sharmila Jesudason kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 19 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syaliati Mohd Sobri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram