Identiti kesemua 9 mangsa masih hilang dalam insiden tanah runtuh belum boleh didedahkan — Polis


  • 112
  • Selasa, 20 Dis 2022

Suffian (kanan) pada sidang media mengenai perkembangan terkini operasi SAR di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada Rabu. — Bernama

POLIS belum boleh mendedahkan identiti kesemua sembilan mangsa masih hilang dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali, Selangor yang berlaku awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya masih membuat semakan teliti kerana ia melibatkan aspek siasatan.

"Mungkin dalam sedikit masa lagi kita boleh dedahkan mangsa-mangsa yang hilang, setakat ini masih dalam siasatan tindakan pihak polis.

"Bagaimanapun, waris atau mangsa yang masih hilang boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan bagi memudahkan penyiasatan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media pada Rabu.

Tambah Suffian lagi, setakat ini, hanya dua laporan polis diterima berhubung kehilangan anggota keluarga disebabkan insiden berkenaan.

"Pihaknya juga telah mengenal pasti dua lagi pemilik kenderaan terlibat dalam insiden berkenaan, dengan satu daripadanya dimiliki oleh pekerja ladang berkenaan dan satu lagi kepunyaan sebuah syarikat dan pihaknya masih membuat siasatan lanjut berhubung syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Sufian memaklumkan lima daripada tujuh pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden berkenaan telah dikenal pasti, iaitu dua daripadanya telah meninggal dunia, dua selamat dan seorang masih hilang.

"Setakat Isnin, belum ada perkembangan positif dalam aspek pencarian mangsa yang hilang, dengan kerja SAR diteruskan pagi ini menggunakan kekuatan 115 pegawai dan anggota melibatkan lima agensi penyelamat utama.

"Ia turut dibantu 11 jentera berat dan dua anjing unit pengesan (K9)," katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga pegawai dan anggota penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan, namun semuanya dalam keadaan stabil.

Menurut Suffian, seorang anggota bomba memang ada komplikasi kesihatan dan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam yang kakinya terkehel namun telah didiscaj pagi Rabu.

"Setakat ini, saya harapkan semua pihak supaya kita mendoakan kesihatan ketiga-tiga pegawai dan anggota penyelamat yang bertugas dalam operasi SAR,” katanya.

Pada Selasa, Norazam dikejarkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan strok ringan (minor stroke). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram