TIDAK rela ‘pisang berbuah dua kali’, Sabah FC cukup serius dalam memburu sentuhan penyerang import berkualiti selain pemain tempatan bagi mengharungi musim 2023.
Perkara itu ditegaskan ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, yang mengakui beliau tidak mahu terburu-buru sebaliknya berhati-hati dalam pencarian penyerang import.
Tambahan akan berentap di pentas Piala AFC selain penambahan pasukan yang bersaing di Liga Super, beliau melihat perkara itu perlu menjadi salah satu keutamaan dalam mencatat keputusan konsisten dalam semua pertandingan yang disertai skuad Sang Badak.
Namun dalam masa sama, Kim Swee mengingatkan tugas menjaringkan gol bukan hanya terletak di bahu penyerang semata-mata tetapi semua pemain yang berada di atas padang.
“Sudah tentu, mana-mana pasukan inginkan penyerang berkaliber tetapi musim lalu, semua orang boleh melihat kemampuan Sabah berada dalam kalangan empat pasukan teratas yang paling banyak menjaringkan gol.
“Bagaimanapun, bagi menghadapi musim baharu ini, kami sudah tentu mahu penyerang yang sempurna bagi menguatkan lagi aspek serangan namun saya tidak akan buat keputusan terburu-buru ekoran pintu pendaftaran masih berbaki dua bulan.
“Buat masa ini, kehadiran Darren sekurang-kurangnya sudah memberikan petanda positif kerana dia telah bergelar penjaring tempatan terbanyak Liga Super musim lalu dan diharapkan mampu meneruskan dengan apa dilakukan sebelum ini,” katanya.
Darren akan memperkukuhkan jentera serangan skuad The Rhinos pada musim depan. — Facebook Sabah FC
Selain kemasukan penyerang kebangsaan, Darren Lok, skuad The Rhinos membawa masuk Irfan Zakaria dan Stuart Wilkin yang akan terus bersama Sabah secara kekal selepas dipinjamkan dari Johor Darul Takzim (JDT).
Posisi penyerang dilihat sebagai sesuatu yang kritikal apabila pemain import musim lalu, Neto Pessoa yang hadir di awal musim dengan penggantinya, Jose Embalo gagal memenuhi jangkaan yang disandarkan pasukan.
Sementara itu, pengendali berusia 52 tahun itu juga melihat kewujudan Liga Simpanan pada musim 2023 sebagai sesuatu yang positif kepada Sabah kerana mampu membantu memberikan ruang kepada pemain mendapatkan aksi kompetitif.
“Liga Simpanan ini bukan sahaja sesuatu yang baik kepada pembangunan pemain-pemain muda Bawah 23 tahun tetapi saya dapati boleh membantu pemain-pemain senior.
“Di sinilah mereka boleh mendapatkan peluang untuk bermain semula selepas pulih dari kecederaan atau mendapatkan peluang bermain secara kompetitif jika sudah lama tidak beraksi.
“Bagi saya ini bukan sahaja sesuatu yang baik kepada Sabah yang akan bermain di Piala AFC tetapi Liga Malaysia secara keseluruhan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram