SEPERTI yang dijangka, usul undi percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10 di Dewan Rakyat berlaku dalam suasana kecoh.
Usul undi percaya mula dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Usul itu kemudian disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Namun, ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mahu membuka ruang untuk pembahasan, berlaku kekecohan yang dimulakan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan menganggap tidak perlu membawa usul dengan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.
Berlaku pertelingkahan dalam kalangan Ahli Parlimen yang akhirnya membawa kekecohan dalam kalangan semua sedangkan keputusan undi percaya belum lagi diperoleh.
Dalam pada itu, Johari memberikan masa selama 10 minit kepada 12 Ahli Parlimen yang didahului Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketika ini, perbahasan masih lagi berjalan dan keputusan masih belum lagi diperoleh.
Untuk rekod, pembentangan usul undi percaya itu adalah bagi membuktikan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu sebagai Perdana Menteri ke-10 mengikut butiran terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.
Usul tersebut bakal membuktikan Anwar mendapat sokongan ahli parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula Isnin menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram