Rayuan kes solar hibrid Rosmah Mansor didengar Jun depan


Rosmah dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda sebanyak RM970 juta atas tiga pertuduhan Oktober lalu.

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Isnin menetapkan 22 dan 23 Jun 2023 sebagai tarikh pendengaran rayuan kes Datin Seri Rosmah Mansor terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda sebanyak RM970 juta berhubung kes penyelewangan dana RM1.25 bilion dalam projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata demikian kepada media selepas tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz ketika proses pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian.

"Hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023, manakala hujahan balas jika ada, perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023," katanya.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri itu sebelum ini memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa kesemua keputusan Zaini itu berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

Pada 1 September lalu, Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah di atas kesemua tiga pertuduhan berhubung kes rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Dia turut diperintahkan dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram