Keabsahan Anwar terbukti, kini masa bantu rakyat bukan fikir rampas kuasa — Penganalisis


  • Politik
  • Isnin, 19 Dis 2022

Anwar berjaya membuktikan dia mempunyai sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berjaya membuktikan keabsahannya selepas mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 24 November lalu

Anwar mendapat sokongan majoriti menerusi undian suara dan bukan undian belah bahagi selepas sesi perbahasan melibatkan 12 Ahli Parlimen.

Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan kerja selepas Anwar membuktikan keabsahannya.

"Sekarang ini masa untuk Anwar dan menterinya lakukan kerja. Fokus utama harus diberikan untuk selesai isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Bukan masanya lagi untuk Ahli Parlimen berfikir mengenai rampasan kuasa dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Dr Rusdi berkata, pembangkang sekarang perlu memainkan peranan yang amat penting untuk lakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Jelasnya, pembangkang yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu menjalankan tanggungjawab mereka dan bukan mencetuskan masalah di Parlimen mengenai isu-isu remeh.

"Selain itu, kerajaan juga perlu beri keistimewaan yang sama kepada pembangkang. Pembangkang perlu ada Kabinet bayangan yang sama macam kerajaan.

"Bila perkara ini ada barulah boleh semak dan imbang. Kerajaan juga perlu iktiraf peranan yang dimainkan pembangkang dalam usaha untuk membangunkan negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram