[VIDEO] Ditemukan terapung, 3 beradik maut terkena renjatan elektrik rumah dilanda banjir


  • Tular
  • Isnin, 19 Dis 2022

Tragedi malang itu dikatakan berlaku seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum arus mengalir kepada dua adiknya yang berada di hadapan rumah.

TULAR satu video memaparkan tiga beradik maut selepas terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak, Tumpat dekat Kelantan pada Isnin.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 pagi tadi. Kesemua mangsa yang meninggal dunia ditemui dalam keadaan terapung di luar halaman rumah tersebut.

Dalam video video berdurasi 56 saat itu, kelihatan ketiga-tiga mangsa terbaring berdekatan antara satu sama lain.

Turut kedengaran suara seorang lelaki memberitahu mangsa berkemungkinan maut selepas seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena dua adiknya yang turut berada di hadapan rumah.

Maklumat awal mendapati kesemua mangsa berusia 20 hingga 27 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 11.30 pagi.

"Ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi banjir melalui hadapan sebuah rumah tersebut.

"Tiba-tiba seorang mangsa dipercayai tergelincir lalu memegang tiang rumah tersebut dan terkena renjatan elektrik. Adik-beradik lain cuba membantu namun turut terkena renjatan elektrik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata mayat ketiga-tiga mangsa itu telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad juga telah dimaklumkan untuk tindakan memutuskan bekalan elektrik di tempat kejadian dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, ketika ditemui pemberita dirumahnya berkata dia sangat terkejut dan tidak sangka ketiga-tiga anak perempuannya yang masih belum berumah tangga itu terbaring dalam air selepas terkena renjatan elektrik.

"Urusan pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses bedah siasat selesai di Hospital Tumpat," katanya.

Saksi kejadian yang juga jirannya Che Zahiyah Che Yaakob, 53, pula berkata dia sempat menegur tiga beradik itu yang melintasi rumahnya sebelum dijawab arwah Nor Syazwani yang menyatakan ingin pergi ke tali air di hadapan rumahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram