Nenek luluh hati, meraung lepas kenal pasti mayat ke-4 ahli keluarga mangsa tragedi Batang Kali


  • 112
  • Ahad, 18 Dis 2022

Su Lee (dua, kanan) hampir rebah ketika meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selepas menuntut mayat empat ahli keluarganya, yang terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada Jumaat. — Bernama

SEORANG warga emas tidak dapat menahan hiba ketika mengecam dan menuntut satu lagi mayat ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi Batang Kali di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Beh Su Lee, 59, dari Sabak Bernam, meraung ketika keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor sambil dipapah salah seorang saudaranya.

Bercakap kepada pemberita selepas tangisannya reda, Beh dalam linangan air mata berkata, dia datang untuk mengenal pasti ahli keluarga keempat, termasuk dua anak kecil.

“Saya mengenal pasti tiga mayat semalam (17 Disember) dan hari ini (18 Disember) saya mengenal pasti seorang lagi.

"Anak perempuan dan menantu saya berumur dalam lingkungan 30-an. Cucu saya berumur enam tahun," kata Beh yang kemudiannya diiring oleh saudara maranya untuk masuk ke dalam kereta.

Tidak diketahui berapa umur cucu yang lain itu.

Juga tidak diketahui sama ada keluarga itu adalah sebahagian daripada kumpulan guru dari SJKC Mun Choong, yang pergi berkhemah sebelum tragedi itu berlaku pada awal pagi Jumaat.

Kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali dekat Gohtong Jaya setakat ini telah meragut 24 nyawa dengan sembilan lagi masih hilang manakala 61 terselamat.

Kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram