Pengusaha, pekerja Father's Organic Farm dipanggil bantu siasatan tanah runtuh Batang Kali


  • 112
  • Ahad, 18 Dis 2022

Keadaan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh ketika tinjauan di Father Organic Farm Batang Kali pada malam Sabtu. — Bernama

POLIS memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini mengorbankan 24 nyawa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 50-an dan dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an itu, hadir di Ibu Pejabat Daerah Hulu Selangor petang Sabtu.

"Kemungkinan (pada masa akan datang) kita akan memanggil lagi pihak-pihak yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis di lokasi kejadian pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali.

Dalam pada itu, Suffian berkata, 15 mayat mangsa tragedi iaitu dua lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan diserahkan kepada keluarga mereka pada Sabtu.

Katanya, sembilan lagi mayat masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan tuntutan oleh waris.

"Kita memohon waris dan keluarga terlibat, rakan-rakan (yang) tahu tentang maklumat ini supaya pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman bagi memudahkan urusan pengembalian mayat kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pasukan khas di hospital bagi membantu menguruskan aspek dokumentasi dan urusan penyerahan mayat kepada keluarga mangsa terlibat.

Operasi mencari dan menyelamat pada Ahad memasuki hari ketiga dan setakat Sabtu, sembilan masih hilang dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram