EMPAT cedera parah selepas sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 Parajurit Muda melanggar tembok batu pemisah lorong tol di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, insiden yang berlaku pada pukul 7.10 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah brek.
"Pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah, lapan penumpang cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, siasatan awal mendapati lori itu, yang dipandu oleh seorang anggota tentera berusia 25 tahun, sedang bergerak di lorong paling kiri ketika dipercayai mengalami kerosakan brek dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok tersebut.
Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa di Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban.
"Kesemua parajurit baharu menamatkan latihan asas ketenteraan dan dihantar ke Terminal One, Seremban untuk mereka pulang bercuti," katanya.
Jelasnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menerima rawatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram