Beberapa kawasan di Pahang dijangka banjir mulai 8 malam Ahad


  • Primer
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Situasi banjir yang berlaku di Pekan, Pahang pada Januari tahun lalu.

BEBERAPA lagi kawasan di Pahang diramal berlaku banjir mulai Ahad malam atau lebih awal berdasarkan simulasi model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

JPS dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kawasan dijangka banjir mulai pukul 8 malam Ahad ialah Kampung (Kg) Beralas, Kg Gading, Jeram Bungor dan kawasan sekitarnya serta Kg Merting, Kuala Tahan dan kawasan sekitarnya.

Sementara di Kg Seberang Guai, Jalan Kg Durian, Kg Bukit Imam Sulong dan kawasan sekitarnya serta Kg Besol, Paya Gintong, Kg Batu Kawah, Kg Perian, Kg Jeransang, Kg Tanjung Betung, Kg Rial, Kg Tanah Nyior, Kg Teh, Kg Jerantut Feri dan kawasan sekitarnya mulai pukul 8 pagi Isnin.

Setakat pagi ini, mangsa banjir di Pahang kekal 141 orang daripada 36 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, Pekan.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula Ahad hingga Selasa.

Menurut ramalan cuaca yang dikeluarkan pada pukul 1 tengah hari Ahad, amaran cuaca buruk di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

Sementara itu, hujan berterusan peringkat waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak dan Kuala Kangsar), dan Kelantan (Gua Musag) juga bermula Ahad hingga Selasa.

Keadaan sama turut berlaku di Terengganu membabitkan Dungun dan Kemaman; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Amaran cuaca buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Sementara itu, cuaca waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram