Lari tak cukup tanah sampai tertusuk besi tajam, 48 pendatang asing kena cekup di Dengkil


  • 112
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Seramai 48 warga asing tanpa izin di Dengkil, Selangor dicekup dalam satu operasi dijalankan pihak Imigresen pada Jumaat. — Gambar hiasan

SERAMAI 48 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen dalam satu operasi bersama Jabatan Pendaftaran Negara di sebuah penempatan haram dekat Dengkil, Sepang, Selangor pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya berkata, seramai 63 warga asing yang berada di sebuah tapak pembinaaan telah diperiksa dan 48 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri.

Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 53 tahun dan terdiri daripada 30 warga Indonesia, 12 warga Bangladesh, lima warga Myanmar dan seorang warga Vietnam yang dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Semasa serbuan, terdapat pendatang tanpa izin yang cuba meloloskan diri namun kesemua mereka berjaya ditahan kerana laluan keluar dari penempatan itu telah dikepung lebih awal.

"Seorang pegawai operasi dilaporkan cedera di bahagian lutut dan kaki akibat terkena besi tajam kerana penempatan tersebut tidak rata, berlumpur serta dipenuhi besi serpihan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram