Perjanjian Kerajaan Perpaduan tak relevan jika Anwar miliki sokongan majoriti — Muhyiddin


  • Politik
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Muhyiddin (kanan) tidak setuju jika Ahli Parlimen dihukum kerana tidak menyokong Anwar.

SEMUA Ahli Parlimen harus bebas menyuarakan pendapat mereka tanpa ancaman kehilangan jawatan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai baru-baru ini sepatutnya tidak relevan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mendapat sokongan dua pertiga.

"Nampaknya Perdana Menteri tidak optimistik mengenai undi percaya yang akan datang di Parlimen pada Isnin depan.

"Saya dimaklumkan beliau sudah menerima 148 undi sokongan daripada Ahli Parlimen, iaitu lebih dua pertiga daripada majoriti, dan perlu ada lebih kepercayaan daripada penyokongnya, bukan menerusi perjanjian yang bersifat menghukum," katanya pada Sabtu.

Presiden Bersatu itu berkata, syarat Ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka jika mereka tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tidak berperlembagaan.

"Saya tidak pernah melihat undang-undang seperti ini, dan ini boleh digunakan jika ia menyentuh undang-undang anti lompat parti. Tetapi ini tidak berkaitan dengan undang-undang anti lompat parti.

"Terdapat beberapa pandangan mengatakan bahawa perjanjian ini tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang," katanya sambil menambah parti politik itu boleh sahaja mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli mereka dan bukannya meminta mereka mengosongkan kerusi mereka.

Mengenai pendirian PN berhubung undi percaya, Muhyiddin berkata, mereka akan membincangkan perkara itu pada Ahad untuk mendapatkan keputusan muktamad.

"Sudah tentu kita tidak akan menyokong usul itu, tetapi kita akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut semasa mesyuarat pra majlis esok," tambahnya.

Kerajaan Perpaduan sebelum ini sudah bersetuju untuk bekerjasama melibatkan gabungan parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan Warisan.

Anwar berkata, perjanjian itu adalah komitmen untuk menyokong kerajaan yang stabil yang akan dapat menamatkan tempoh lima tahunnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram