MESYUARAT pertama Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 yang bermula pada Isnin depan dijangka membincangkan beberapa agenda, termasuk usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perpaduan.
Tumpuan pastinya kepada Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai jumlah kerusi Dewan Rakyat kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH), namun memilih menjadi pembangkang dengan tidak menyertai Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan setakat ini diwakili PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta disokong beberapa parti lain termasuk Parti Warisan Sabah dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
PN yang mempunyai 74 kerusi Parlimen ternyata bersedia untuk menjadi blok pembangkang yang kuat, apabila ia memilih Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu terkenal dengan kelantangan dan ketegasan.
Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
Pemilihan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang disifatkan tepat oleh pemerhati, khususnya dalam konteks semak dan imbang, memandangkan ini kali pertama negara ditadbir oleh kerajaan perpaduan diketuai oleh PH dengan 82 ahli Dewan Rakyat.
Selain itu, ia diperkuat oleh 30 Ahli Parlimen BN, GPS (22), GRS (6) dan lain-lain parti.
Pembentukan kerajaan perpaduan itu disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu menyaksikan Parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah negara, apabila tidak ada sebuah parti pun boleh membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.
Kerajaan Bayangan
Ketika mengulas akan kemampuan PN selaku blok pembangkang, pensyarah Sains Politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Jayum Jawan berkata, sebagai gabungan yang pernah mentadbir kerajaan selama kira-kira dua tahun sebelum ini, PN mampu menjadi pembangkang yang berkesan dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang.
Jelasnya, memandangkan PN mempunyai jumlah kerusi kedua terbanyak, mereka boleh membentuk ‘Kabinet bayangan’ yang cekap.
"Ketua Pembangkang akan menjadi ‘Perdana Menteri Bayangan’ dan difahamkan PN akan mengagihkan dua atau tiga ahli Parlimen mereka untuk menjaga dan memantau satu kementerian...ini merupakan satu tindakan yang tepat," kata Felo Akademi Sains Malaysia itu kepada pemberita.
Menurutnya, Malaysia tidak pernah mempunyai kabinet bayangan sekalipun BN yang menjadi blok pembangkang, selepas PRU14 pada 2018 pernah mengutarakan cadangan tersebut.
"Pada 2018 rakyat tidak tahu siapa menteri bayangan kerana mereka tidak menonjol dari segi menyemak tindak-tanduk menteri dalam kerajaan.
"PN boleh mewujudkan dengan jelas peranan kabinet bayangan, namun mereka yang dilantik perlu menunjukkan kesungguhan melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut kerana ia bersifat kerja sukarela dan tidak ada bayaran," katanya.
Kewujudan Kabinet bayangan juga dilihat sejajar dengan ciri demokrasi berparlimen (Westminster) yang diamalkan Malaysia, yang mana ahli-ahli kanan daripada parti pembangkang diberikan tugas memantau dasar dan tindakan kerajaan serta membuat cadangan alternatif.
"Tugas utama mereka (menteri bayangan) ialah memastikan dasar itu baik, betul, bermanfaat kepada rakyat, selain pastikan menteri dalam kerajaan buat kerja kerana menteri bayangan boleh berdebat dengan menteri yang dibayanginya mengenai isu berkaitan kementerian semasa Parlimen bersidang.
"Kedua-dua pihak perlu buat ‘homework’ untuk berdebat secara profesional di Parlimen tentang dasar kementerian, bukan serangan peribadi sesama mereka," jelasnya.
Menurut Jayum, dengan strategi itu, pastinya jemaah menteri pimpinan Anwar akan lebih berhati-hati dan bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawab kerana ada pihak yang sentiasa memantau tindak-tanduk mereka, sekali gus menjamin kerajaan baharu mentadbir negara dengan amanah, telus dan adil.
Gandingan baharu dan lama
Jayum juga menyifatkan gandingan muka lama dan baharu dalam PN sebagai saling melengkapi, khususnya dalam menyalurkan idea yang lebih segar dan menjadi pengkritik kerajaan yang dinamik.
Malah katanya, mandat yang diberikan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN dapat mengukuhkan lagi blok pembangkang kerana beliau seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, termasuk selaku Perdana Menteri ke-8.
Jayum juga berkata, pelantikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN merupakan gandingan pelengkap kepada Muhyiddin dalam menjadikan PN blok pembangkang berwibawa.
"PN mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dalam kalangan bekas menteri, menteri besar dan Exco yang boleh dijadikan panduan oleh muka baharu dalam blok pembangkang untuk bertindak lebih matang," ujarnya.
Kekuatan PAS
Replika kapal terbang yang dicat dan dihias dengan bendera PN di Kampung Batu Besar dekat Sik, Kedah menjadi satu tarikan penduduk setempat pada kempen PRU15. — Bernama
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, ini bukan kali pertama PAS menjadi pembangkang dan semestinya sudah berpengalaman luas dalam peranan mereka sebagai pengkritik kerajaan.
Malah, kata pensyarah kanan di Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik Universiti Malaya itu, Abdul Hadi sendiri pernah menjadi Ketua Pembangkang iaitu dari 2002 hingga 2004.
"PAS menjadi pembangkang selama lebih enam dekad sejak PRU pertama diadakan pada 1955, dan saya pasti pengalaman PAS sebagai pembangkang akan digunakan sebaik mungkin dalam menyemak dan mengimbang kerajaan yang diketuai PH.
"Pada PRU lepas juga PAS menyumbang kerusi Parlimen terbanyak (dalam PN) dan sudah pastinya rakyat akan menilai peranan yang dimainkan ahli Parlimen parti itu terutamanya dalam menambah baik dasar-dasar kerajaan," katanya.
Sebelum ini, ramai yang menjangkakan Abdul Hadi dilantik Ketua Pembangkang. Lebih-lebih lagi PAS mencatat prestasi cemerlang pada PRU15, apabila memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding Bersatu dengan 31 kerusi.
Pada pilihan raya itu, PAS menyapu bersih lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan, sementara Abdul Hadi pula menang besar di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi, mengatasi BN, PH dan Pejuang Tanah Air. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram