Intipati penting perjanjian Kerajaan Perpaduan, perlu kerjasama semua aspek


  • Politik
  • Khamis, 15 Dis 2022

Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di Putrajaya pada 5 Disember lalu. —Bernama

KERAJAAN Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikukuhkan menerusi sokongan daripada parti-parti politik, yang dijangka akan memeterai perjanjian pada Jumaat.

Ketika ini, Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, selain beberapa wakil rakyat Bebas dan parti kecil.

Beberapa perbincangan diadakan berkaitan perjanjian itu yang akan ditandatangani semua parti terbabit, atas kepentingan bahawa mereka bersama sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik, Profesor Dr Rusdi Omar berkata, perjanjian itu memerlukan kerjasama dalam semua aspek sama seperti perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA).

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Beliau berkata, ini antara lain parti-parti terbabit haruslah menyokong kerajaan ketika ini, tidak kira sama ada Perdana Menteri meraih undian majoriti atau minoriti dalam usul undi percaya.

"Bila Perdana Menteri buat undi percaya, mereka mempunyai keyakinan bahawa beliau mendapat majoriti.

"Kalau belanjawan sudah dibentangkan, mereka juga akan memberi sokongan. Perkara sama dibuat semasa CSA.

"Antara CSA yang ditetapkan termasuk polisi atau dasar dibuat kerajaan akan dapat sokongan tanpa berbelah bahagi di pihak kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang jangkaan intipati perjanjian Kerajaan Perpaduan tersebut.

Usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan kepimpinan Perdana Menteri akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, yang dijadual diadakan pada 19 Disember ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram