KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak menaikkan tarif elektrik sudah semestinya disambut baik oleh rata-rata rakyat di negara ini, khususnya mereka yang bergolongan B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan itu diguna pakai kepada pengguna domestik, industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat berasaskan pertanian serta pengeluar makanan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan membuat semakan terhadap tarif elektrik membabitkan syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara.
"Subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi," katanya.
Rakyat juga bimbang kenaikan harga produk dan barangan.
Di sebalik khabar baik itu, ada juga yang meluahkan kebimbangan tentang kesan terhadap peningkatan harga barangan di media sosial.
Chastar Quinn berkata, meskipun pengguna domestik tidak terbabit dengan kenaikan tarif elektrik, namun dia tidak menolak kemungkinan syarikat-syarikat besar akan mengambil kesempatan.
"Hakikatnya kalau dah syarikat-syarikat besar yang kena, sudah tentu mereka sailang pengguna balik dengan menaikkan harga produk-produk mereka.
"Jadi, kesimpulannya rakyat-rakyat marhaen juga yang kena tanggung kesannya nanti," katanya.
Berpendapat sama, Mohd Azrul Ambiya mengingatkan bahawa, pengguna komersial dan industri akan berdepan dengan kenaikan tarif bagi menanggung pengguna domestik.
"Oleh itu, pasti akan ada kesan juga kepada pengguna, yang mana akan ada kenaikan harga barang sedikit sebanyak. Harap-harap kerajaan akan kawal juga hal ini," ujarnya.
Tambah Izzkandar Zainal: "Walaupun kenaikan tidak melibatkan pengguna domestik. Kesan kenaikan tetap akan dirasai oleh rakyat melalui kenaikan harga barang."
Soal Che An Mael: "Memang domestik tak naik. Tapi, kos daripada pengeluar yang dikenakan itu, dia mark up dan serap masuk dalam overhead dia. Serupa itulah balik kepada pengguna, tapi tak nampak direct sangat. Sampai bila barang nak murah?"
Tangkap layar komen netizen berhubung tarif elektrik yang tidak dinaikkan kepada golongan tertentu.
Kesan kepada pekerja
Mohammad Nazri Bin Jaldin mendakwa, segelintir pengurusan tertinggi syarikat tidak peduli tentang kebajikan kakitangan mereka.
Katanya, subsidi tersebut sepatutnya diberi kepada syarikat yang sanggup membayar gaji lebih tinggi daripada gaji kebangsaan dan bayaran elaun kerja lebih masa (OT) lebih mahal.
"Main politiklah sikit Datuk Seri. Kalau macam ni, banyak syarikat akan bermain rasuah dengan pegawai-pegawai kerajaan," katanya.
Syafiq Garcia berkata: "Tarif elektrik untuk syarikat eksport rendah ke? Jadi, bila kos syarikat naik harap jangan pekerja jadi mangsa. Pekerja dikurangkan sebab nak kawal kos operasi syarikat." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram