MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dan sensitif ketika memapar dan berkongsi video serta gambar yang tidak sesuai sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham.
Beliau berkata, pengguna media sosial perlu bertanggungjawab serta menghormati mangsa serta keluarga dengan memberi ruang dan tidak membuka aib sama ada menerusi video dan gambar yang dipapar atau dikongsi.
Mengambil contoh video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak menangis di sisi mayat seorang wanita dipercayai ibunya berkaitan kes bunuh di Kampung Icebox, Tawau, Sabah, Fahmi berkata, video sedemikian amat menyedihkan dan masih memberi kesan kepadanya.
"Kalau boleh kita kena ingatkan pengguna media sosial yang kita ada undang-undang dan adab timur ini, kita jaga aib," katanya kepada media selepas majlis amanat menteri bersama warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya pada Jumaat.
Mengenai insiden tanah runtuh di Batang Kali pula, Fahmi berkata, elakkan menunjukkan wajah kanak-kanak serta nama mereka.
"Biar apa-apa yang kita disampaikan itu berdasarkan maklumat sahih yang disalurkan media arus perdana," katanya.
Maklumat awal polis menyatakan kira-kira 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat.
Sehingga pukul 11 pagi, sembilan orang maut dalam kejadian itu, manakala 53 mangsa telah dibawa keluar dari kawasan kejadian.
Fahmi dalam pada itu berkata, KKD dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berbincang untuk bersama syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan sistem amaran terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' oleh Jabatan Meteorologi.
"Kerajaan juga perlu meneliti sekiranya sistem amaran itu boleh dipanjangkan ke beberapa aktiviti yang berisiko. Kita akan dapatkan maklum balas dari agensi dan jabatan terlibat untuk menambah baik sistem amaran," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram