[TERKINI] Tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali, 16 maut tertimbus hidup-hidup


  • 112
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada awal pagi Jumaat. — Facebook/JBPM Selangor

SERAMAI 16 mangsa disahkan meninggal dunia selepas dikhuatiri terperangkap dan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat.

Selain itu, polis mengesahkan 17 mangsa masih terperangkap akibat tanah runtuh setakat pukul 1 tengah hari.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 3 pagi.

"Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm, Kampung Kuantan, Selangor dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.

"Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar.

"Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas dikerahkan ke lokasi.

"Maklumat awal daripada pihak polis mendapati, terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan tersebut yang mungkin menjadi mangsa runtuhan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, Norazam berkata, setakat ini, seramai 37 mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat.

"Seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm ekoran tanah runtuh terbabit.

"Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” jelasnya — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram