[VIDEO] Tangan hampir dibaham, dua lelaki tenang selamatkan buaya besar


  • Tular
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Seorang lelaki dengan tenang dilihat cuba melepaskan mulut buaya yang terperangkap di pukat miliknya.

DUA lelaki warga tempatan berdepan dengan detik cemas apabila seekor buaya tembaga besar terperangkap dalam pukat nelayan ketika ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di salah sebuah sungai di Sarawak pada Khamis.

Kejadian menakutkan itu dikongsi semula oleh Azrulazim Piydadi akaun Facebook miliknya.

"Kejadian berlaku pada awal pagi tadi (Khamis)," tulisnya.

Dalam video berdurasi dua minit 51 saat itu memaparkan, Azrulazim dan seorang lagi rakannya yang berada di atas sebuah bot sedang cuba melepaskan mulut buaya berkenaan dari pukat miliknya.

Turut kedengaran suaranya yang merakam kejadian berkenaan meminta reptilia berkenaan untuk bersabar dan tidak melakukan pergerakan.

"Sabar, sabar, sikit lagi. Aku bukan nak kacau, aku nak selamatkan kau," katanya.

Lebih mendebarkan, tangan rakan Azrulazim hampir dibaham buaya ketika cuba melepaskan haiwan berkenaan.

Namun kelihatan lelaki itu sedikit pun tidak melatah dan bersikap tenang seolah-olah sudah biasa dengan kejadian tersebut.

Difahamkan buaya tersebut berjaya dilepaskan semula dan kedua-dua lelaki berkenaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Untuk makluman, Sarawak semenangnya terkenal dengan kehadiran buaya yang bersaiz besar dan ini bukanlah kali pertama insiden seumpamanya berlaku. Sebelum ini, media pernah melaporkan seekor buaya pernah terperangkap di pukat pemancing.

Masyarakat di negeri ini pernah digemparkan dengan kejadian seekor buaya ganas bergelar Bujang Senang yang mendiami sungai Batang Lupar di Sri Aman yang menyerang dan membaham beberapa orang mangsa pada tahun 1980-an.

Walaupun berlaku banyak kejadian yang melibatkan serangan buaya namun di Sarawak, aktiviti pemburuan atau pembunuhan reptilia itu tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kecuali ada risiko ancaman keselamatan kepada kehidupan manusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram