NEGARA pada Jumaat dikejutkan dengan berita tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang menyaksikan hampir 100 mangsa terlibat.
Kebanyakan mangsa merupakan mereka yang melakukan aktiviti perkhemahan di sana setakat pukul 4 petang pada Jumaat, pihak berkuasa mengesahkan sebanyak 16 orang maut manakala 17 lagi masih hilang.
Bencana tanah runtuh dalam negara bukan sesuatu yang baharu dan sebelum ini juga terdapat kes yang dilaporkan hingga meragut nyawa.
Berikut Majoriti senaraikan beberapa kes tanah runtuh yang melibatkan puluhan mangsa dan nyawa melayang sejak 1990-an.
Runtuhan Highland Towers (11 Disember 1993).
Ini adalah kejadian tanah runtuh yang paling diingati dalam negara sehingga kini.
Berlaku pada 11 Disember 1993, kejadian bermula kira-kira pukul 1.35 petang yang mana berlaku runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.
Runtuhan tanah berlaku ekoran hujan turun selama 10 hari berturut-turut hingga merosakkan tembok penahan tempat letak kereta di kondominium itu.
Perkara itu bertambah buruk selepas satu daripada tiga blok 12 tingkat yang dibina itu runtuh.
Kejadian itu mengakibatkan 48 mangsa maut dan ada lagi yang masih belum ditemukan sehingga kini.
Banjir lumpur Pos Dipang (29 Ogos 1996)
Kejadian ini dikenali sebagai Banjir Lumpur Pos Dipang yang berlaku di Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak.
Hujan lebat yang luar biasa sebelum tragedi itu adalah antara punca utama kejadian itu.
Kawasan bukit yang curam di Sungai Pusat yang terletak di hulu Sungai Dipang menyebabkan berlaku tanah runtuh yang besar di situ.
Keadaan itu menyebabkan air Sungai Pusat keruh dan berlumpur berbanding Sungai Dom dan Sungai Sangkut iaitu anak Sungai Dipang di hulu hingga mengakibatkan berlaku banjir lumpur.
Kesan bencana alam itu mengakibatkan 44 orang maut manakala lima lagi dilaporkan hilang.
Tanah runtuh Bukit Antarabangsa (6 Disember 2008)
Kejadian tanah runtuh ini berlaku di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor melibatkan lebih 100 orang mangsa.
Tragedi ini berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan runtuhan Highland Towers pada pukul 3.50 pagi.
93 mangsa selamat daripada kejadian tanah runtuh setelah menyelamatkan diri masing-masing manakala 15 lagi mangsa cedera.
Polis juga mengesahkan terdapat empat mangsa terkorban akibat kejadian tanah runtuh tersebut.
Selain itu, lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit banglo di Taman Bukit Mewah ranap akibat kejadian itu termasuk unit banglo milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Tanah runtuh Hulu Langat (21 Mei 2011)
Tragedi tanah runtuh Hulu Langat, Selangor terjadi pada 21 Mei 2011 melibatkan sebuah premis di Jalan Sungai Semungkis.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.20 petang dan mangsa yang terlibat merupakan penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa.
Sebanyak 25 orang mangsa terperangkap apabila berlaku tanah runtuh di belakang asrama mereka susulan hujan lebat.
Mangsa terakhir dibawa keluar kira-kira pukul 5.30 pagi keesokan harinya dan laporan akhir daripada pihak berkuasa mengesahkan 16 orang maut manakala sembilan lagi cedera.
Tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 (11 Mac 2022)
Kejadian ini berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor kira-kira pukul 5.54 petang.
Menurut penduduk, mereka terdengar bunyi dentuman kuat berpunca daripada runtuhan tanah yang berlaku sebanyak dua kali akibat hujan lebat.
Kejadian ini menyaksikan 15 kediaman terjejas dan dua kediaman telah tertimbus sepenuhnya oleh runtuhan tanah runtuh.
Kejadian itu meragut empat nyawa dan seorang dilaporkan cedera ringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram